Recent Post

Tuesday, October 13, 2015

Kartunis diingatkan jaga sensitiviti rakyat pelbagai kaum


Anda Mahu Berkongsi Berita Ini?

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan kartunis di negara ini diingatkan supaya menjaga sensitiviti rakyat pelbagai kaum dan agama dalam berkarya demi memelihara perpaduan serta keharmonian negara.

Beliau berkata sekiranya etika dalam berkarya dapat dijaga dan dihormati, ia dapat mengelak pelbagai masalah sekali gus memastikan Malaysia terus bergerak sebagai sebuah negara maju.

"Kalau nak gambarkan tentang politik boleh, tiada masalah. Tapi ada perkara tertentu tidak seharusnya dijadikan bahan karya kerana boleh merosakkan keharmonian dalam kalangan masyarakat," katanya ketika berucap di majlis Anugerah Kampung Boy 2015, yang diadakan sempena sambutan setengah abad Kartun Lat, di Putrajaya malam tadi.

Mengambil contoh majalah satira Charlie Hebdo yang menghasilkan lukisan karikatur wajah Nabi Muhammad SAW, Najib berkata ia satu bentuk karya yang bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah tidak sensitif terhadap umat Islam sehingga mencetuskan ketegangan.

"Walaupun kita boleh kata ini adalah kebebasan bersuara dan hak asasi, tetapi saya berpendapat tiada kebebasan mutlak yang sebenar. Kalau kita percaya pada kebebasan mutlak, kita tidak akan hormat dan menjaga sensitiviti orang lain sehingga menyebabkan ketegangan dan konflik dalam negara?," katanya.

Najib menarik perhatian bahawa kartunis merupakan kumpulan yang berperanan untuk membentuk minda, sikap serta persepsi rakyat terhadap sesuatu isu atau cara hidup mana-mana kumpulan etnik mahupun komuniti di negara ini.

"Golongan tersebut boleh memainkan peranan sebagai penyalur maklumat untuk menjernihkan sesuatu isu secara lebih dekat lagi melalui usaha hiburan yang pada asasnya ada mesej positif," katanya.

Mengambil contoh pergolakan di Gaza, Palestin, Najib berkata kartunis menerusi lakaran mereka telah berjaya memaparkan konflik tersebut dengan cara tersendiri untuk difahami oleh rakyat Malaysia.

Beliau turut menarik perhatian bahawa lukisan kartun adakalanya boleh membuatkan seseorang dilihat seperti 'orang gila' kerana tersenyum dan ketawa sendirian.

"Watak yang dipaparkan itu sesetengah bila tengok sekali pandang nak gelak dan ketawa dengan sendiri. Kalau (orang) tengok dari jauh mungkin orang anggap kita tidak siuman," katanya sambil disambut gelak tawa oleh tetamu yang hadir.

Mengenai karya Lat atau nama sebenarnya Datuk Mohammad Nor Khalid, perdana menteri menyifatkan kartunis itu seorang yang istimewa dan tersohor sehingga ke peringkat antarabangsa.

Malah, Najib mengakui beliau sebagaimana rakyat yang lain turut menggilai pelbagai karya Lat seperti 'The Kampung Boy', Keluarga Si Mamat serta 'Town Boy' dan masih kekal dalam ingatan sehingga hari ini.

"Mesej yang disampaikan dalam karya tersebut menunjukkan sebuah masyarakat yang hidup dalam keadaan hormat menghormati, dan perlu dikatakan ia bersesuaian dengan semangat 1Malaysia," katanya.

Pada majlis itu, Najib turut menyatakan kesediaan kerajaan untuk menimbang permohonan Kelab Kartunis Malaysia (KKM) yang berhasrat memiliki sebuah 'rumah kartunis' bagi mempamerkan karya mereka selain dijadikan tempat berkumpul.

Anugerah Kampung Boy 2015 mengambil nama sempena karya popular Lat yang telah dicetak 16 edisi dan diterjemah dalam tujuh bahasa dan dianjurkan oleh KKM.

Majlis yang julung kali diadakan itu bertujuan untuk menyampaikan penghargaan dan pengiktirafan kepada kartunis tanah air yang menjadi medium pengantara kepada masyarakat sejak berdekad lalu, selain memainkan peranan penting dalam pembangunan minda.

Di majlis itu, perdana menteri menyampaikan anugerah kepada lapan kartunis dengan Anugerah Utama 'Kampung Boy 2015' diberikan kepada Jaafar Taib yang terkenal menerusi majalah Gila-Gila.

Penerima lain adalah Dilfitri Tajudin atau Lambok (Anugerah Kartunis Muda Berpotensi); Saadon Ishak atau Don (Anugerah Watak Kartun Animasi); Reggie Lee (Anugerah Kartunis Editorial); Abd Fatah Ngah (Anugerah Kartunis Malaysiana); Sabariah Jais atau Cabai (Anugerah Kartunis Terbaik); Zainal Buang Hussein (Anugerah Kartunis Legenda) dan Meor Shariman Meor Hassan atau Mishar yang meraih Anugerah Khas Juri.

- Bernama




Smiley :)
:D
:)
:[
;)
:D
:O
(6)
(A)
:'(
:|
:o)
8)
(K)
(M)

No comments:

Post a Comment

Popular Posts

Berita Harian

Malaysia Kini

Mypotnews Links

Submit ExpressFree Webmaster Tools
Ping search engines.

Contact Form

Name

Email *

Message *