Anda Mahu Berkongsi Berita Ini?
CELAH GELEGAR Shahbudin Husin: Setelah MAHATHIR - KU LI - MUHYIDDIN Duduk Semeja, BERAPA LAMA HAYAT NAJIB LAGI?
Berikut adalah tulisan Shahbudin Husin: Politik Malaysia mencatat satu lagi peristiwa menarik hari ini apabila Tun Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah yang bermusuhan sejak hampir 30 tahun dulu akhirnya duduk semeja di Yayasan Kepimpinan Perdana. Turut bersama mereka ialah Muhyiddin Yassin dan Shafie Apdal yang baru dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah pada 28 Julai lalu. Sanusi Junid dan Ong Tee Keat juga turut hadir, cuma Dr Ling Liong Sik tidak dapat bersama kerana ada urusan di luar negara. Sekali imbas, terlihat seolah-olah isu 1MDB dan undang-undang Sosma telah menyatukan mereka bukan saja untuk duduk semeja, bahkan nampak akrab sehati sejiwa. Tun Mahathir dan Tengku Razaleigh atau Ku Li secara rasminya bermusuh apabila bertembung untuk jawatan Presiden UMNO pada pemilihan 1987. Ia kemudian membawa kepada pengharaman UMNO pada 1988 di mana selepas itu Tun Mahathir menubuhkan UMNO Baru, manakala Ku Li berjuang melalui Semangat 46. Walaupun Ku Li sedia membubarkan Semangat 46 pada 1996 untuk menyertai UMNO secara beramai-ramai, kedua-duanya tidak pernah duduk semeja dalam isu-isu yang melibatkan negara mahupun UMNO kemudiannya seperti kes pemecatan Anwar Ibrahim ataupun ketika berlakunya gelombang menjatuhkan Tun Abdullah Badawi. Kalau pun ada Tun Mahathir dan Ku Li duduk semeja hanyalah ketika dua tiga kali bekas Perdana Menteri itu berkunjung untuk berbuka puasa di kediaman bekas Menteri Kewangan itu di Jalan Langgak Golf, tidak jauh dari KLCC. Dalam masa yang sama, kedua-dua negarawan itu tidak pernah pula berbalah atau berbeza pendapat secara terbuka, baik melalui media ataupun di mana-mana forum yang lain. Pendeknya, hubungan mereka ialah bergaduh tidak, baik sangat pun tidak juga. Namun, kedua-duanya saling menghormati antara satu sama lain dan jika terserempak pula selalu bergurau senda dan saling ketawa. Tetapi hari ini Tun Mahathir dan Ku Li telah duduk semeja dan kemudian mengeluarkan kenyataan bersama dengan lima pemimpin lain iaitu Muhyiddin, Shafie, Dr Ling Liong Sik, Ong Tee Keat dan Sanusi Junid mengecam penahanan Khairuddin Abu Hassan dan Mathias Chang dibawah Sosma kerana membuat laporan berkaitan kemelut 1MDB di luar negara. Apakah Tun Mahathir dan Ku Li sedia duduk semeja semata-mata kerana Sosma sahaja? Apakah ada perbincangan lain lagi selain Sosma? Apakah pula perancangan mereka selepas ini? Ditambah dengan adanya Muhyiddin dan Shafie yang baru dipecat oleh Najib dan duduk sekali dengan mereka, manakala Tun Mahathir pula diketahui konsisten mahu menyingkirkan Perdana Menteri, episod seterusnya tentu saja tidak lari daripada topik kerusi yang sedang diduduki Najib sekarang ini. Duduknya semeja Tun Mahathir dan Ku Li hari ini sebenarnya adalah hasil beberapa kali pertemuan antara keduanya sebelum ini. Mungkin ada yang mengetahui tentang pertemuan itu dan mungkin juga ada yang tidak menyedarinya, tetapi Tun Mahathir dan Ku Li tidak pernah berbicara secara terbuka tentangnya. Pada hakikatnya, Sosma hanya titik permulaan kepada gerakan yang lebih besar oleh Tun Mahathir untuk menyingkirkan Najib kerana didakwa melakukan banyak kerosakan kepada parti dan negara serta lebih memungkinkan BN kalah dalam pilihanraya. Peristiwa hari ini adalah mesej kepada Najib bahawa gandingan semua pemimpin yang berkumpul ini akan lebih kerap bersama selepas in dan program jelajah Tun Mahathir ke seluruh negara, jika berlaku, tidak lagi hanya beliau seorang saja yang menyerang Najib.
Muhyiddin yang sekembalinya dari Sarajevo baru-baru ini dan mengatakan tidak akan bersama Tun Mahathir dalam gerakan menyingkirkan Najib, nyata telah berubah pendiriannya. Beliau nampaknya tidak mahu lagi menjadi kura-kura dan sedia menjadi lebih lantang. Berkumpulnya mereka hari ini tidak lain ialah untuk meneruskan tekanan dan seterusnya menyingkirkan Najib sebagai Perdana Menteri. Ia bukan semata-mata Sosma yang dikeluarkan kenyataan bersama. Sediakah Najib menghadapinya? Mungkinkah beliau akan memecat mereka daripada UMNO atau mensosmakan semua penentangnya nanti? Bagaimana pula dengan kebangkitan dan kemarahan rakyat jika tindakan itu diambil? Bersediakah Najib mendepaninya? Jika semua itu berlaku, mampukah Najib terus bertahan atau kedudukannya jadi makin mereput? Atau mungkinkah akan berdetik di hati Najib untuk mengundurkan diri demi UMNO dan negara kerana mula menyedari itulah jalan penyelesaian terbaik menamatkan kemelut yang memang berpunca daripadanya? Oppsss....jangan lupa sidang Parlimen akan bermula pada 19 Oktober ini. Walaupun Ku Li menyatakan usul tidak percaya di Parlimen tidak mungkin berjaya kerana Speaker tidak akan membenarkannya, namun beliau juga memberitahu ada cara lain yang boleh dilakukan untuk menyingkirkan Perdana Menteri, tetapi enggan memberitahunya. Jika tidak, mengapa pemilihan detik bersejarah bertautnya dua pemimpin yang pernah bermusuh ini hanya seminggu saja sebelum sidang Parlimen bermula? Dan ia juga berlaku selepas Majlis Raja-Raja bertindak di luar kebiasaan dengan mengeluarkan kenyataan mahukan siasatan 1MDB segera diselesaikan dan diambil tindakan terhadap mereka yang didapati bersalah melakukan kesalahan. Siapa pula bakal Perdana Menteri baru menggantikan Najib nanti? Ku Li? Muhyiddin? Atau Ku Li jadi Perdana Menteri sehingga PRU 14 dan selepas kemenangan selesa BN, jawatan itu akan diserahkan kepada Muhyiddin pula menggantikannya? Episod seterusnya pasti lebih ditunggu-tunggu, tapi dalam masa yang sama tentunya Najib semakin tidak lena lelap malamnya. (SH 12/10/2015)
No comments:
Post a Comment