Anda Mahu Berkongsi Berita Ini?
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menegaskan bukan keputusan beliau untuk menggantung Ahli Parlimen DAP-Gelang Patah, Lim Kit Siang selama enam bulan daripada menghadiri
sidang Parlimen, malah ia merupakan keputusan oleh majoriti ahli Parlimen.
Beliau berkata Yang Dipertua Dewan Rakyat tidak boleh membuat keputusan sendiri untuk menghukum mana-mana ahli Parlimen sebaliknya ia dibuat berdasarkan Peraturan Mesyuarat.
"Saya tak boleh buat usul sendiri, yang menghukum Gelang Patah (Kit Siang) adalah Ahli-Ahli yang Berhormat sendiri bukan saya, Peraturan Mesyuarat adalah di bawah Perkara 62 Perlembagaan Persekutuan, saya bukan boleh pandai-pandai buat tafsiran tanpa ada sandaran kepada peraturan itu," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen semalam.
Semalam, sidang Dewan Rakyat meluluskan usul menggantung Kit Siang selepas beliau tidak menarik balik kenyataan dan memohon maaf tanpa syarat berhubung tuduhannya terhadap Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Kit Siang digantung selepas didakwa menuduh Pandikar menyalahguna kuasanya sebagai Speaker untuk mensabotaj siasatan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) terhadap syarikat pelaburan strategik millik kerajaan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Pandikar berkata perkara itu harus difahami untuk tidak menimbulkan salah faham masyarakat bahawa Yang Dipertua Dewan Rakyat hanya mengikut telunjuk anggota Parlimen.
Katanya, Yang Dipertua Dewan Rakyat bagaimanapun mempunyai kuasa untuk membuat tafsiran ke atas semua Peraturan Mesyuarat dan mesti diterima sama ada anggota Dewan Rakyat bersetuju atau tidak pada dasarnya.
"Kalau tidak diberi kuasa kepada Yang Dipertua Dewan untuk mentafsir sama ada (usul) diterima atau tidak dan semua (anggota Parlimen) mempunyai tafsiran sendiri... kamu nampak sendiri tadi semua pun berdiri dengan tafsiran masing-masing, maka tafsiran Yang Dipertua Dewan yang harus diambil kira sama ada diterima atau tidak," katanya.
Selepas pengundian dibuat terhadap usul menggantung Kit Siang, sebanyak 107 ahli Parlimen bersetuju, 77 membantah dan seorang berkecuali.
- Bernama
No comments:
Post a Comment