Anda Mahu Berkongsi Berita Ini?
Agensi penguatkuasaan dan keselamatan bukan sahaja perlu memperketatkan kawalan di pintu-pintu masuk sempadan
Malaysia, malah meningkatkan usaha perisikan bagi mengesan rakyat tempatan yang terlibat dalam kegiatan kumpulan militan.
Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara (MPN) Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata adalah penting untuk menyekat dan membanteras terus elemen-elemen pengganas daripada menyusup masuk ke dalam negara ini.
"Kalau mereka masuk dari pintu masuk sempadan atau lapangan terbang, ia lebih mudah dikesan tetapi saya fikir ini bukan macam pengganas Sulu yang masuk ke negara kita tetapi ia lebih kepada mengenal pasti mereka yang sudah berada di dalam negara.
"Kalau orang luar hendak lakukan (serangan), ia agak sukar kerana mereka tidak biasa dengan kawasan itu... pastinya kita juga tidak boleh ambil ringan di pintu-pintu masuk," katanya kepada Bernama ketika dihubungi.
Beliau mengulas kejadian serangan insiden letupan dan serangan pengganas di beberapa negara sejak akhir-akhir ini termasuk yang terkini di Jakarta, Indonesia semalam, yang menyebabkan tujuh maut dan lebih 20 orang cedera parah.
Mohamed Mustafa berkata orang ramai juga perlu memainkan peranan dengan melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya mengenali mana-mana individu yang mencurigakan, taksub serta terlibat dalam perjuangan militan.
"Mereka yang terlibat seharusnya ditahan di bawah akta tertentu bagi mencegah daripada melakukan sesuatu yang tidak terjangka," katanya.
Antara akta menangani ancaman keganasan di Malaysia adalah Akta Pencegahan Keganasan 2015; Akta Kesalahan, Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) dan dan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.
Mohamed Mustafa berkata pihak berkuasa juga perlu meningkatkan kehadiran termasuk melakukan sekatan jalan raya atau pemeriksaan tertentu di lokasi-lokasi strategik terutamanya di lokasi pelancongan.
"Saya percaya pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia tahu apa yang mereka lakukan... langkah mereka itu nanti bukan sahaja akan dapat mencegah elemen pengganas tetapi juga meningkatkan keyakinan orang ramai dan meredakan kerisauan," katanya.
Merujuk serangan Jakarta, Mohamed Mustafa berasakan bahawa kemungkinan serangan itu dilakukan oleh rakyat negara itu yang terpengaruh dan terlibat dalam aktiviti militan luar negara.
"Meskipun tiada bukti tetapi berdasarkan kejadian keganasan lalu yang membabitkan pengganas Al Qaeda dan Jemaah Islamiyah... firasat saya kuat menyatakan ia adalah perlakuan penyokong militan yang berada di negara itu.
"Sukar untuk pihak berkuasa mengesan dan mengawal sekiranya mereka sememangnya sebahagian dari rakyat... justeru Malaysia juga perlu ambil iktibar dengan kejadian itu dan jadikan ia satu peringatan," katanya.
Kejadian serangan kumpulan militan semalam adalah kali ke-10 berlaku di Indonesia sejak 2000.
- Bernama
No comments:
Post a Comment