Recent Post

Friday, January 08, 2016

Pakar: Pegawai keluar lesen lombong bauksit harus bertanggungjawab


Anda Mahu Berkongsi Berita Ini?

Pegawai kerajaan yang mengeluarkan lesen kepada pelombong bauksit di sekitar Kuantan harus bertanggungjawab kerana gagal melindungi kepentingan orang ramai, kata seorang pakar tanah.

Pakar Mineralogi Tanah Universiti Putra Malaysia Prof Dr Shamsuddin Jusop berkata tindakan itu perlu diambil untuk melindungi kesihatan penduduk yang tinggal di kawasan itu.

"Paras aluminium, perak, kadmium, besi, plumbum, kromium dan mangan di Sungai Pengorak, Pahang contohnya telah melebihi had Kelas Tiga daripada Standard Kualiti Air Sungai Kebangsaan.

"Jika keadaan ini berlaku, pasti air sungai itu tidak boleh digunakan untuk membasuh apa lagi untuk diminum," katanya dalam kertas kerja bertajuk 'Kesan Negatif Aktiviti Perlombongan Bauksit di Kuantan' yang dikeluarkan di ibunegara semalam.

Shamsuddin berkata oleh kerana bauksit diangkut lori ke Pelabuhan Kuantan setiap hari untuk dieksport dengan kapal ke destinasi luar negara, udara di sekitar kawasan lombong dan jalan yang dilalui oleh lori telah dicemari oleh debu merah.

"Zarah halus bersaiz < 2.5 um (PM 2.5) akan dihidu dan masuk jauh ke dalam sistem pernafasan manusia yang mungkin boleh menjejaskan fungsi paru-paru manusia.

"Udara di kawasan-kawasan jauh dari kawasan perlombongan tetapi terletak di sepanjang laluan lori pun telah dicemari debu bauksit," katanya.

Jika ini berlaku, katanya penduduk yang tinggal di kampung-kampung di sepanjang jalan menuju ke Pelabuhan Kuantan tidak terlepas daripada pencemaran debu bauksit.

"Zarah halus boleh berterbangan jauh dan meliputi kawasan yang luas, ditiup oleh angin jauh ke dalam wilayah tanah besar Semenanjung Malaysia seperti kabut yang menyelimuti ruang udara negara sejak tahun-tahun kebelakangan ini.

"Penduduk di sekitar Kuantan dan Lembah Jabor terdedah kepada pencemaran udara tahap bahaya yang mungkin boleh memudaratkan kesihatan mereka dan akhirnya kehidupan mereka... ia mungkin menyebabkan kematian," katanya.

Justeru itu, kata Shamsuddin, kerajaan perlu segera mengambil tindakan sewajarnya untuk mencegah kerosakan lebih teruk terhadap kesihatan manusia akibat aktiviti perlombongan bauksit di kawasan itu.

Beliau berkata kandungan elemen tertinggi dalam bauksit di Kuantan ialah aluminium diikuti besi yang boleh memudaratkan kesihatan.

"Kromium dan nikel yang terdapat dalam jumlah yang besar dalam bauksit di Kuantan juga adalah elemen berbahaya yang boleh menjejaskan kesihatan," jelasnya.

Sementara itu, pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (NIOSH) Tan Sri Lee Lam Thye menyambut baik keputusan kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Pahang menghentikan aktiviti perlombongan bauksit selama tiga bulan di kawasan itu, yang pada pendapatnya perlu dilaksanakan lebih awal.

Semasa penggantungan aktiviti perlombongan itu, Lee menasihatkan pihak berkuasa berkaitan supaya memantau dan mengawal selia semua operasi pembersihan dengan rapi seperti pembersihan stok simpanan bauksit, menubuhkan kawasan penyimpanan bersepadu dan sistem rawatan sisa bauksit.

"Langkah-langkah yang sesuai perlu diambil untuk memastikan bahawa semua syarat-syarat dipatuhi dan dilaksanakan mengikut arahan.

"Selain itu, pihak berkuasa juga harus memastikan bahawa ada laluan berasingan untuk mengangkut bijih bauksit dan tidak menggunakan jalan-jalan yang sering dikunjungi orang ramai atau berhampiran kawasan perumahan," katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata pada masa depan, perlombongan bauksit hendaklah dikawal selia dan dipantau ketat untuk melindungi kesihatan orang ramai dan memastikan kelestarian alam sekitar.

"Perniagaan mesti membuat keputusan yang bertanggungjawab yang menghadkan kesan negatif aktiviti mereka terhadap alam sekitar, kesihatan dan keselamatan orang ramai.

"Jika moratorium selama tiga bulan ke atas perlombongan bauksit tidak mencukupi untuk melaksanakan langkah-langkah yang diumumkan oleh kerajaan, tempoh itu perlu dilanjutkan sehingga operasi pembersihan selesai dan kerajaan berpuas hati bahawa semua isu mengenai alam sekitar, kesihatan dan keselamatan ditangani dengan baik," katanya.

- Bernama




Smiley :)
:D
:)
:[
;)
:D
:O
(6)
(A)
:'(
:|
:o)
8)
(K)
(M)

No comments:

Post a Comment

Popular Posts

Berita Harian

Malaysia Kini

Mypotnews Links

Submit ExpressFree Webmaster Tools
Ping search engines.

Contact Form

Name

Email *

Message *