Anda Mahu Berkongsi Berita Ini?
ULASAN Pada 25 Jun 2015, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid telah mengumumkan pengambilan 1.5 juta pekerja dari Bangladesh untuk memenuhi sektor pekerjaan di Malaysia.
Namun semalam Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan tiada angka mutlak bagi kemasukan pekerja Bangladesh ke negara ini kerana ia bergantung kepada keperluan sebenar majikan semasa permohonan dibuat.
Perjanjian Malaysia-Bangladesh memeterai kemasukan 1.5 juta pekerja Bangladesh dibuat di kala pengumuman penyusunan semula serta penambahan sistem kadar levi untuk pekerja asing berkuat kuasa 1 Februari 2016. Mengapakah wujud kontradiksi antara dasar serta pelaksanaan oleh kerajaan dalam menangani tenaga kerja di negara kita?
Perjanjian Malaysia-Bangladesh bercanggah dengan agenda ekonomi yang digariskan dalam RMKe-11; iaitu dalam mewujudkan 1.5 juta pekerjaan menjelang tahun 2020 dengan sasaran penambahbaikan dalam produktiviti buruh dan pengurangan kebergantungan terhadap pekerja asing berkemahiran rendah.
Dalam mengejar visi ekonomi berjiwa rakyat, kerajaan wajar menetapkan gaji minimum RM1,350 bagi tahun ini dan mensasarkan RM1,850 pada tahun 2020 untuk mencapai nisbah 40 peratus gaji daripada jumlah KDNK negara. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Wahid sekadar menyebut sasaran ini tetapi kita tidak melihat rancangan konkrit dalam mereleasasi sasaran ini.
Kerjasama Malaysia-Bangladesh menggunakan sepenuhnya sistem dalam talian bermula dengan proses permohonan pekerja; kononnya untuk mengawal penglibatan ejen pekerja asing tidak sah yang menyumbang kepada kenaikan kos penggajian serta risiko kepada eksploitasi pekerja asing.
Umum mengetahui dengan wujudnya mekanisme rundingan terus ini akan menyulitkan lagi proses majikan untuk menghantar semula pekerja yang didapati bermasalah memandangkan mereka yang diterima masuk telah mendapat akses penuh daripada kedua-dua kerajaan. Adakah mekanisme G2G bakal menghapuskan terus penggunaan ejen yang bakal menambah kos?
Bahkan kuasa yang diberikan kerajaan kepada agensi yang mengelola sistem ini menimbulkan persoalan memandangkan kerajaan kini mengalami isu ketirisan kepercayaan rakyat.
Jelas bahawa langkah utama di dalam melahirkan gaji minima impian adalah menerusi had penggunaan pekerja asing dalam industri tertentu.
Makanya, pasca perbincangan menyeluruh dengan semua pihak berkepentingan, kerajaan perlu meningkatkan levi pekerja asing kepada RM5,000 dan menetapkan had ke atas guna tenaga pekerja asing oleh industri.
Khususnya bagi sektor perkhidmatan dan pembuatan, seharusnya tiada pekerja asing yang digunapakai; untuk sektor pembinaan peratusan maksimumnya 30 peratus dan bagi industri berasaskan agro/perladangan, peratusan maksimumnya pula 50 peratus.
Penguatkuasaan dan pemantauan industri perlu untuk memastikan kuota yang ditetapkan diikuti.
Dasar penggunaan pekerja asing mengurangkan peluang pekerjaan kepada pekerja tempatan yang rata-ratanya 70 peratus berpendidikan SPM ke bawah. Hari ini Low Yatt, kedai-kedai makan, stesen minyak, hotel-hotel, industri pembinaan, kilang-kilang seperti Proton dibanjiri dengan kehadiran pekerja asing.
Akibatnya, gaji terus mengecil dan gagal berkembang. Kesemua industri ini mampu dipenuhi oleh pekerja tempatan jika mereka dibayar dengan sewajarnya.
Sehubungan itu, sewajarnya kerajaan Malaysia memandang serius saranan yang dikemukakan oleh pemangku Presiden Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Abdullah Sani Abdul Halim yang berkata, penyelarasan kadar levi dapat menetapkan kuota mengikut sektor bagi mengelakkan lambakan pekerja asing di negara ini.
Saranan saya adalah kemasukan lebih ramai pekerja asing tidak perlu disegerakan. Sebaliknya, apa yang diperlukan adalah penguatkuasaan kawalan undang-undang sedia ada seperti Akta Kerja 1955, Akta Pampasan Pekerja 1952, Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990, Akta Imigresen 1959/63, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.
Selesaikan dahulu isu kehadiran 5.8 juta pekerja asing; di mana 2.135 juta secara sah dan 3.7 juta tanpa izin.
Bahkan, atas nama keterbukaan, senaraikan syarikat-syarikat dan Industri yang mengemukakan permohonan kepada kementerian secara transparen supaya rasional penempatan keperluan rakyat tempatan mampu dilaksana dalam memenuhi sektor tenaga buruh yang diperlukan.
Pastikan levi dibayar oleh syarikat dan majikan yang menggaji pekerja asing bukan seperti praktis sedia ada di mana pembayaran dilunaskan oleh pekerja bukannya majikan.
Utamakan kebolehpasaran pekerja tempatan dahulu berbanding memperkukuh dan memeterai dasar pengambilan pekerja asing.
Jangan dipinggir isu lambakan pendatang asing yang memberi impak negatif kepada gejala sosial di kawasan penduduk tempatan; termasuklah fenomena di mana pekerja asing sendiri dimangsakan menerusi pelaksanaan hukum yang lemah!
NURUL IZZAH ANWAR adalah ahli Parlimen Lembah Pantai, naib presiden dan pengarah pilihan raya PKR
No comments:
Post a Comment