Anda Mahu Berkongsi Berita Ini?
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Salleh Said Keruak mempertahankan tindakan Putrajaya menyekat medium.com, dengan mendakwa laman web itu telah melanggar undang-undang Malaysia.
Salleh berkata demikian ketika ditanya sama ada tindakan menyekat medium.com hanya kerana menyiarkan satu artikel oleh portal pemberi maklumat Sarawak Report, sebagai keterlaluan.
Katanya, keputusan untuk menyekat medium.com adalah kerana ia didakwa terus menyiarkan berita palsu yang boleh memudaratkan keselamatan negara walaupun ia telah diminta supaya membuang berita tersebut.
Oleh itu, medium.com melanggar undang-undang, katanya dalam satu temubual melalui emel dengan Malaysiakini.
Dalam beberapa bulan lalu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah menyekat beberapa laman web yang kritikal terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak, termasuk Sarawak Report.
Bagaimanapun, tindakan menyekat seluruh medium.com, platform terkemuka yang diasaskan oleh pengasas bersama Twitter, Evan Williams, dilihat sebagai satu perkembangan baru.
Laman web Endgadget berkata walaupun China, yang terkenal dengan kawalan ketat ke atas rakyatnya, tidak menyekat medium.com.
Artikel Sarawak Report yang membuat SKMM mengambil tindakan terhadap medium.com, bertajuk: "Najib negotiates his exit but he wants safe passage and all the money".
Sarawak Report, yang telah menerbitkan berita-berita dengan dakwaan rasuah terhadap Najib, beralih ke medium.com selepas SKMM menyekat laman web itu tahun lepas.
No comments:
Post a Comment