Recent Post

Wednesday, August 19, 2015

'Saya rindu ke sekolah'


Anda Mahu Berkongsi Berita Ini?

Kota Bharu: "Saya rindu untuk kembali ke sekolah dan bertemu rakan-rakan," luah Farahdina Che Fauzan, 14, yang kehilangan tangan kiri selepas disahkan menghidap kanser tulang jenis Osteosarcoma kira-kira setahun lepas.

Anak sulung daripada tiga beradik yang berasal dari Pengkalan Paun, Pasir Mas, kehilangan tangan kirinya selepas anggota badan itu terpaksa dipotong pada Februari lepas bagi mengelak kanser merebak ke bahagian tubuhnya yang lain.

Pelajar Sekolah Menengah Agama Ismailiyyah Pohon Buloh Pasir Mas itu berkata, walaupun hidupnya kini tidak seperti remaja lain, semangatnya untuk meneruskan persekolahan tetap membara.

"Sukar juga untuk menjalani kehidupan seharian dengan sebelah tangan sahaja, namun keluarga sering beri semangat dan dorongan.

"Walaupun saya tak dapat ke sekolah seperti biasa, HUSM (Hospital Universiti Sains Malaysia) turut beri peluang kepada saya untuk menimba ilmu di sini kerana turut menyediakan kelas seperti di sekolah. Kadang-kadang ada guru-guru ataupun rakan-rakan dari sekolah lama saya datang melawat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis sumbangan hadiah yang dianjurkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Children's Wish Society of Malaysia (CWS) di Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian di sini, hari ini.

Pada majlis itu, permintaan Farahdina untuk memiliki sebuah Samsung Galaxy Tab ditunaikan CWS, sebuah pertubuhan yang ditubuhkan bagi memenuhi permintaan remaja dan kanak-kanak berusia 18 tahun ke bawah yang menghidap penyakit kritikal terutama berkaitan kanser.

Selain itu, CWS menerusi Naib Presidennya, Teoh Teik Hoong turut menyumbangkan empat permainan video Sony PSP, sebuah Samsung Galaxy Tab, Lego Blocks dan patung permainan Batman kepada enam lagi kanak-kanak lain berusia antara tiga hingga 14 tahun yang senasib dengan Farahdina.

Seorang lagi pesakit, Mohd Munir Suhaimi, 12, yang berasal dari Kampung Kubang Palas, Wakaf Bharu, Tumpat berkata, beliau gembira apabila impiannya untuk mendapatkan permainan video Sony PSP ditunaikan oleh pertubuhan itu.

"Saya dah lama mengimpikan untuk memiliki Sony PSP kerana merasa bosan ketika menerima rawatan di hospital selepas disahkan kena kanser tulang punggung.

"Dengan permainan video ini sekurang-kurangnya saya dapat isi waktu terluang terutama selepas menjalani rawatan kemoterapi," kata murid Sekolah Kebangsaan Seri Wakaf Bharu itu.

Ibu kepada Mohd Munir, Nora Ismail, 43, berkata, anaknya mula dikesan menghidap penyakit tersebut sejak Mac lalu selepas rebah ketika bermain bola sepak di sekolahnya.

"Anak saya sangat aktif bersukan namun kini hanya terlantar di atas katil selepas disahkan menghidap kanser tulang yang menyerang punggungnya.

"Mohd Munir dimasukkan ke wad sejak Mac lepas untuk menjalani rawatan kemoterapi. Saya harap dia mampu jalani Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) pada bulan depan," katanya.

Sementara itu, Teoh berkata, pihaknya sering bekerjasama dengan hospital di seluruh negara bagi mengesan dan menunaikan impian kanak-kanak malang untuk memberi keceriaan dalam hidup mereka.

"Pada program kali ini, kita hubungi seorang doktor yang merawat kanak-kanak ini, bertanya kepadanya apa impian yang ingin dicapai oleh kanak-kanak ini dan doktor berkenaan menyerahkan senarai impian mereka.

"Walaupun mereka sakit, mereka juga berhak untuk menikmati kegembiraan dalam hidup mereka. Kita sedaya-upaya berusaha untuk memenuhi impian mereka," katanya. - Bernama




Smiley :)
:D
:)
:[
;)
:D
:O
(6)
(A)
:'(
:|
:o)
8)
(K)
(M)

No comments:

Post a Comment

Popular Posts

Berita Harian

Malaysia Kini

Mypotnews Links

Submit ExpressFree Webmaster Tools
Ping search engines.

Contact Form

Name

Email *

Message *