Anda Mahu Berkongsi Berita Ini?
Kopi & Koko Panas 'Drive Thru' viral di media sosial sejak dua tiga hari yang lalu. Perniagaan kecil-kecilan yang dibuat oleh Sofwan Sharifuddin, 21, berasal dari Kota Bharu, Kelantan ini, semakin mendapat perhatian netizen. Mana tidaknya, dengan gaya pakaian yang ala-ala hipster atau Barista Coffee, sudah tentu menampakkan kelainan dan membuatkan orang yang lalu lalang tertarik untuk menghampiri anak muda ini. "Saya tidak pernah pun buat bisnes sebelum ini. Selama tiga tahun belajar dalam bidang Engineering Aircond & Refrigeration di UNIKL MFI, Bangi, saya banyak menghabiskan masa untuk belajar. Habis saja 3 tahun di uni, saya terus balik ke kampung dan ibu tawarkan saya jual kopi biji kurma dalam kotak. Pada mulanya, saya jual sikit-sikit pada kawan-kawan dan kenalan, Alhamdulillah, laris juga. "Sehinggalah saya terbaca kenyataan seorang Timbalan Menteri yang menyarankan buat dua kerja yang viral di media sosial membuatkan saya terfikir untuk membuat Kopi Drive Thru. Tambahan pula dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu, saya harus mencari jalan untuk membantu ibu dan ayah untuk membayar duit rumah, segala bil itulah yang membuatkan saya semakin bersemangat untuk merealisasikan perniagaan ini," katanya. Sofwan memilih lokasi di Wakaf Che Yeh untuk mencuba nasib, namun beliau inginkan Kopi Drive Thru nya itu nampak kelainan dan menarik pada orang ramai.
"Bagi menampakkan kelainan, kami mengenakan pakaian ala-ala hipster atau barista coffee sebab pemakaian seperti ini amat jarang dilihat oleh orang Kelantan," katanya. Siapa sangka, ideanya itu berjaya menarik perhatian orang yang lalu di kawasan itu biarpun pada awalnya orang ramai memandang pelik dan ada juga yang membunyikan hon bila ternampak mereka. Hasil perniagaannya itu juga semakin hari semakin meningkat. "Saya buat Drive Thru ini juga sebenarnya ingin membuang perasaan malu dalam diri kerana saya seorang pemalu. Jadi, dengan cara ini, saya dapat melawan perasaan itu. Dengan pemakaian seperti ini, orang lalu lalang memandang kita sudah tentu terasa malu. Lebih-lebih lagi bila kawan kita sendiri yang melihat kita dalam keadaan seperti itu. Tetapi inilah cabaran dan pengorbanan yang saya perlu lalui untuk mencari pendapatan sendiri," Dalam masa yang sama, Sofwan juga menyarankan golongan belia buat perniagaan mereka sendiri walau kecil mana pun perniagaan itu, jika dibuat dengan bersungguh-sungguh pasti akan berjaya.
"Kopi Drive Thru saya ini hanya perlukan termos air panas, meja, cawan pakai buang dan buat ala-ala Starbucks, banting yang boleh menarik perhatian orang. Lepas itu gayakan sikit pemakaian kita. Sesetengah orang berhenti dan membeli kopi saya bukan kerana kopi, kerana mereka tertarik dengan gaya pemakaian kita," katanya. Bagi yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut, bolehlah melayari laman Facebook mereka, Salsabil Coffee atau laman Instagram @SofwanSharifuddin atau Facebook Sofwan Sharifuddin. Beliau boleh dihubungi di nombor 017-9672642. - THEHYPEMEDIA.COM
No comments:
Post a Comment