Anda Mahu Berkongsi Berita Ini?
Ini adalah suasana yang biasa kelihatan di mana-mana tempat sekarang. Kondominium, pangsapuri, rumah kedai dan pelbagai aset hartanah berlumba-lumba untuk dijual setelah siap dibina. Ini adalah satu petanda yang positif dan mengembirakan. Harga rumah di Kuala Lumpur umum tahu semakin hari semakin tidak masuk akal harganya. Beberapa projek perumahan yang saya perhatikan dalam beberapa bulan ini, minimum harga untuk kondo/pangsapuri (tak termasuk rumah atas tanah) ialah RM400K dan boleh menjangkau RM799K untuk 1,000 sf. Bermakna, harga minimum RM400/sf. Itu pun susah nak jumpa kerana kebanyakan projek adalah RM500/sf ke atas. Kalau nak dikirakan komitmen bulanan untuk membayar rumah, katakan rumah apartment berharga RM400k, dengan tempoh bayaran 30 tahun serta kadar faedah semasa adalah 4.45%. Setiap bulan perlu membayar RM1,800 dan duit muka sebanyak RM40,000. Katakan seorang jurutera muda yang baru bekerja, rata-ratanya gaji permulaan adalah RM2,800 bersama hutang PTPTN. "Mana nak cekau duit?!" Bayar rumah saja sudah tinggal RM1,000. Nak bayar ansuran kereta, minyak petrol, makan, taska anak, duit ibu bapa, tol. Tak logik. Itu baru harga rumah RM400k yang seolah-olah hampir mustahil untuk dapat sekarang di Kuala Lumpur. Dan itu adalah gaji untuk jurutera. Bayangkan orang lain yang gajinya kurang dari RM2,000? Ada orang nasihat, tak perlu duduk rumah selesa, cari apartment kos rendah, rumah rakyat. Walaupun dengan gaji jurutera, mampu untuk duduk di apartment sederhana. Persoalan saya pula, kalau dah mereka yang bergaji RM2,800 dan ke atas untuk berebut-rebut tinggal di apartment kos rendah, yang bergaji rendah pula nak tinggal di mana? Semakin tinggi permintaan apartment kos rendah, akan menyebabkan harganya pula naik dan memang sedang berlaku di mana harga rumah kos rendah pun boleh naik sehingga RM250K! Jadi, yang berpendapatan rendah nak duduk di mana? Oleh itu, saya dengan rela hati ingin melabelkan mereka yang mengaut keuntungan dengan perniagaan membeli rumah dan kemudian menjualnya dengan harga yang tidak masuk akal dan juga pemaju-pemaju perumahan yang meletakkan harga yang terlampau tinggi sebagai zalim dan tidak bertanggungjawab. Ada banyak lagi perniagaan lain yang membawa keuntungan di samping memberikan khidmat kepada orang lain. Dalam kes hartanah ini, mereka yang dengan sengaja membeli dan terus menjual dengan harga yang tidak mampu dibeli sangat menyusahkan orang lain. Bukan sahaja golongan sederhana (jurutera tadi), bahkan golongan berpendapatan rendah juga menerima kesannya. Saran saya kepada yang masih belum membeli rumah, usah gelisah dan mengeluh resah. Usah juga membeli walaupun tidak mampu dengan berhutang di sana sini. Kelak hutang itu akan memakan diri anda. Teruskan menyewa mengikut kemampuan dan biarkan semakin banyak rumah yang tidak terjual. Semakin banyak tidak terjual, mahu atau tidak dengan cara ini harga rumah akan turun. Biarkan mereka yang zalim ini menanggung akibatnya dan belajar untuk menjadi lebih bertanggungjawab. Tetapi kalau asyik mengelabah dan takut dengan harga rumah akan naik, hidup kita bakal merana kerana terbeban dengan hutang yang menggunung sebelum umur 30 lagi. Mereka yang kaya akan terus kaya dan mari kita ajar mereka kali ini. Saya bukanlah pakar dalam pasaran hartanah mahupun ekonomi. Saya hanya rakyat Malaysia yang belum mampu membeli rumah yang amat kesal dengan sikap segelintir manusia yang tidak bertanggungjawab. Kini memiliki rumah sudah bertukar daripada keperluan kepada kemewahan. Yang beli rumah hanyalah mereka yang mampu dan kaya. - Rush Dan | Ditulis semula untuk siaran di THEHYPEMEDIA.COM sahaja.
No comments:
Post a Comment